suria

Lee Hyun Il, Chen Jiayuan Dijangka Kuasai Kejohanan Di Kuching

Lee Hyun Il
KUCHING: Pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il dan Chen Jiayuan dari Singapura dijangka menguasai acara perseorangan lelaki dan wanita pada Cabaran Badminton Antarabangsa Maybank Kuching 2014 di sini minggu depan.


Kejohanan tersebut akan diadakan di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini, dari 11 hingga 16 November ini.

Hyun Il, yang meraih pingat emas acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia Ke-17 baru-baru ini, dan Jiayuan, bekas juara Terbuka Singapura 2010 dan mara ke suku akhir Terbuka China 2014, masing-masing diletakkan sebagai pilihan pertama pada kejohanan kali ini.

Lebih 200 pemain dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Sri Lanka, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Australia, Jepun dan United Kingdom dijangka menyertai kejohanan tersebut.

Pemain negara, Mohamad Arif Abdul Latif dan Hsu Ya Ching dari Taiwan, yang masing-masing muncul juara perseorangan lelaki dan wanita tahun lepas, bagaimanapun tidak menyertai kejohanan tersebut tahun ini.

Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Abdul Hadi Abdul Kadir menjangkakan saingan kali ini lebih menarik dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan pada kejohanan berkenaan.

"Oleh itu, pemain-pemain Malaysia berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan pada kejohanan kali ini," kata Abdul Hadi.

Berikutan ketiadaan pemain wanita negara Lee Ying Ying, yang beraksi pada Sukan SEA 2013 pada kejohanan kali ini, pilihan kedua Aprilla Yuswandari dari Indonesia dan pilihan ketiga Yang Li Lian dari Malaysia dijangka mampu memberi saingan sengit kepada Chen.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai AS$15,000 (RM48,000) itu adalah anjuran bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan SBA serta mendapat kelulusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Harga tiket bermusim adalah RM60 (layak untuk cabutan bertuah), sementara tiket bagi perlawanan pusingan awal, masing-masing berharga RM10, RM15, RM20 dan RM30 untuk suku akhir, separuh akhir dan akhir. 


Lee Hyun Il, Kuching, badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Kena Gantung Sementara

Artikel Lain