PEMAIN tengah Manchester United, Anderson bakal kembali beraksi di negara sendiri iaitu Brazil jika tidak ditawarkan kontrak baharu sehingga Jun tahun depan. Kontrak Anderson bersama United bakal tamat pada Jun dan kini dia tidak lagi menjadi pemain pilihan Louis van Gaal akibat kecederaan jangka masa panjang. Berikutan itu kelab Brazil, Gremio dilaporkan sedia memulihkan karier pemain berusia 26 tahun itu. Sebelum ini, Flamengo dilapor ingin mendapatkan Anderson, namun tidak bersetuju dengan yuran pemindahan yang dikenakan United. Anderson berhijrah ke United dari Porto dengan yuran pemindahan sebanyak £27 juta pada 2007. Ketika ditemubual oleh stesen radio Brazil, Anderson berkata, Gremio merupakan kelab pilihannya jika tidak dapat kekal bersama United. "Gremio sebuah kelab yang sentiasa saya sokong - semua orang tahu. Jika bermain di situ, saya dapat bersama keluarga. "Saya telah bercakap dengan mereka tetapi belum mendapat sebarang tawaran sehingga kini," katanya.