PENJAGA GOL Manchester United, David De Gea terpaksa direhatkan selama empat minggu selepas jarinya terseliuh ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Sepanyol menjelang saingan antarabangsa. Kecederaan De Gea disahkan oleh doktor yang merawatnya pada Jumaat, namun tidak didedahkan adakah dia boleh pulang ke Manchester. Kecederaan itu turut memberi tekanan kepada pengendali United, Louis van Gaal. Penjaga gol berusia 24 tahun itu terseliuh jari tangan kanan ketika cuba menyelamatkan cubaan Paco Alcacer semasa sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan antara Sepanyol menentang Belarus di Huelva pada Sabtu. Dia kelihatan meninggalkan padang selepas mengalami kecederaan itu ketika pemain lain masih meneruskan latihan seperti biasa. Berikutan kecederaan itu, De Gea juga akan terlepas perlawanan persahabatan dengan Jerman pada minggu depan. Selain De Gea, Sepanyol turut kehilangan pemain tengah Cesc Fabregas yang mengalami masalah hamstring.