MILAN: Roberto Mancini kembali semula ke Inter Milan beberapa jam selepas pemecatan Walter Mazzarri berikutan keputusan hambar kelab itu. Mancini sebelum ini pernah mengemudi Inter selama empat tahun. Sepanjang bersama kelab itu, beliau membantu Inter memenangi Piala Itali dua kali dan meraih kejuaraan liga tiga musim berturut-turut. "Kita mensasarkan untuk kembali sebagai salah sebuah kelab teratas di Eropah. Oleh itu, saya amat gembira untuk mengalu-alukan kedatangan semula Roberto Mancini. "Rekod kejayaannya di Inter dan bersama beberapa kelab lain di samping pengalamannya di peringkat antarabangsa akan membantu kelab maju ke hadapan," kata Presiden Inter Milan, Erick Thohir dalam satu kenyataan. Mancini akan diperkenalkan kepada media pada Sabtu sebelum turun melatih pasukannya. "Ia satu cabaran yang cukup teruja, saya gembira untuk berada di sini semula. Jumpa anda esok," tulis Mancini di laman Twitternya. Mancini akan diuji pada pertemuan Inter dengan musuh ketat, AC Milan pada 23 November ini. Inter hanya menang dua daripada tujuh perlawanan liga dan jatuh ke tangga kesembilan dalam Liga Serie A.