BARCELONA: Gandingan serasi penyerang trio Barcelona nyata berbisa apabila menampilkan aksi cemerlang pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis. Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez membawa pasukan mereka ke tangga teratas kumpulan apabila menumpaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1. Gol pendahuluan yang dijaringan PSG menerusi Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-15 nyata memberi kesan kepada pemain Barca apabila pantas mengatur serangan balas. Ianya berbaloi apabila empat minit kemudian, tendangan Messi mampu menyamakan kedudukan kedua-dua pasukan. Sorakan penyokong skuad bimbingan Luis Enrique itu makin bergema apabila penyerang Brazil, Neymar menyumbat gol sebelum tamat separuh masa pertama, sekali gus menjadikan kedududukan Barcelona mendahului 2-1. Suasana tambah gamat apabila rekod tanpa kalah PSG musim ini diranapkan Suarez apabila meledak gol ketiga pada minit ke-77. Walaupun PSG tewas, kedua-dua pasukan layak ke pusingan 16 pasukan terakhir.