MADRID: Kemenangan 19 perlawanan berturut-turut Real Madrid membolehkan pasukan itu mencipta rekod baharu Sepanyol. Sebelum ini, pasukan kendalian jurulatih Carlo Ancelotti itu menyamai rekod Barcelona dengan 18 kemenangan berturut-turut. Kemenangan ke atas Ludogorets 4-0 dalam aksi Kumpulan B, Liga Juara-juara pada Khamis begitu bermakna hinggakan jurulatihnya begitu memandang tinggi terhadap barisan pemainnya. “Saya mempunyai kumpulan pemain yang luar biasa dan saya tidak pernah jemu untuk terus bercakap sedemikian,” kata Ancelotti. Kejayaan Real itu dijangka mampu mempengaruhi kontrak Ancelotti yang bakal tamat pada penghujung musim depan. “Saya rasa amat dihargai sepanjang bersama kelab ini dan semuanya berjalan dengan baik sebagai satu pasukan," katanya. Rekod dunia pasukan paling banyak meraih kemenangan berturut-turut masih milik kelab Coritiba dari Brazil, menurut Guinness World Records. Kelab tersebut meraih 24 kemenangan berturut-turut pada Februari hingga Mei 2011. Dalam perlawanan menentang Ludogorets itu, Real mempamerkan aksi cemerlang bermula dengan sepakan penalti Cristiano Ronaldo pada minit ke-20, diikuti jaringan Gareth Bale yang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38. Menjelang babak kedua pula, dua lagi gol diledakkan masing-masing oleh Alvaro Arbeloa pada minit ke-79 dan disudahi Alvaro Medran pada minit ke-88 menjadikan kedudukan sehingga masa penamat 4-0.