suria

Guardini Bakal Berdepan Cabaran Sengit Pelumba Pecut Muda Di LTdL 2015

Andrea Guardini

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut dari Itali, Andrea Guardini akan kembali menggegarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali kelima berturut-turut apabila perlumbaan itu bermula di Langkawi pada 8 Mac ini.

Guardini telah memenangi beberapa perlumbaan World Tour, antaranya Giro d'Italia 2012 dan Eneco Tour 2014.

Namun, beliau menyedari bakal berdepan cabaran sengit daripada pelumba muda yang begitu bersemangat mengalahkannya pada LTdL 2015.

"Saya amat menyedari kemampuan Caleb Ewan dan Jakub Mareczko. Saya kenal  Mareczko, dia dari Brescia, tidak jauh dari tempat saya. Dia kini pelumba pecut yang hebat. Dia memenangi dua peringkat perlumbaan di Venezuela (Vuelta Tachira) pada Januari lepas," kata Guardini dalam kenyataan daripada penganjur LTdL, Human Voyage Sdn Bhd, di sini, Selasa.

Pelumba Pasukan Profesional Astana berusia 25 tahun itu tidak asing pada  LTdL kerana beliau telah memenangi 14 peringkat dalam empat edisi sebelum ini, dan beliau memegang rekod meraih enam kemenangan dalam satu perlumbaan LTdL pada 2012.

Guardini mengekalkan kedudukan sebagai pelumba paling banyak memenangi peringkat perlumbaan LTdL, diikuti Graeme Brown dari Australia yang memenangi sembilan peringkat perlumbaan berkenaan dari 2002 to 2005.

Selain Guardini, Pasukan Profesional Astana turut membariskan pelumba muda berbakat dalam pendakian Miguel Angel Lopez, 20, dari Colombia yang memenangi  Tour de lAvenir 2014, pada edisi LTdL kali ini.

Pelumba lain dalam pasukan berkenaan ialah Aleksandr Dyachenko, Daniil Fominykh, Maxat Ayazbayev dan Arman Kamshev, kesemuanya dari Kazakhstan.

"Astana antara pasukan kegemaran peminat sukan berbasikal di Malaysia. Ia satu-satunya World Team dari Asia, maka perlumbaan kami memang sesuai dengan falsafah mereka dalam sukan berbasikal bagi merapatkan pelumba Eropah dan Asia.

"Pasukan ini kembali ke Malaysia membariskan pelumba yang memang kami nanti-nantikan: pelumba pecut terbaik, pelumba pendaki yang semakin meningkat naik dan empat pelumba Kazakhstan termasuk Aleksandr Dyachenko yang menduduki tempat keempat dan memenangi Klasifikasi Individu Asia tiga tahun lepas. Mereka pasukan pilihan dalam Klasifikasi Berpasukan Asia pada perlumbaan kali ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Datuk Malik Mydin.

Andrea Guardini, Itali, LTdL, Langkawi

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga Sepanyol

Artikel Berikut

Artikel Lain