PETALING JAYA: Penolong jurulatih pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ramlan Rashid menyelar kualiti padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini yang disifatkannya kurang sesuai untuk dijadikan venue perlawanan bola sepak. Beliau mendakwa permukaan padang yang agak keras dan kurang rata menyebabkan para pemain mudah mendapat kecederaan dan mahu pihak berwajib untuk menilai semula penggunaan venue itu bagi perlawanan seterusnya. "Keadaan padang agak mendukacitakan dan saya tengok isu padang ini sudah lama dibangkitkan tetapi masih lagi (berada di tahap lama). Saya menyerahkan kepada pihak pengurusan (JDT II) berkenaan dengan kualiti padang namun saya berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini," kata Ramlan. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Perdana antara JDT II dan SPA Putrajaya FC di venue berkenaan yang menyaksikan mereka menang selesa 5-1. Penyerang muda JDT II, Shafiq Shaharuddin melakar jaringan hatrik pada minitke-45, 64' dan 80' serta dua gol sumbangan Leandro Velazquez (34') dan Nicolas Delmonte (78'). Gol tunggal pasukan tuan rumah disumbang oleh penyerang import dari Nigeria, Michael Chukwubunna Ijezie menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua. Dalam pada itu, Ramlan menuntut pemain skuad 'Harimau Selatan' untuk meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2014, Kuantan FA dari Pahang di Pasir Gudang, 20 Februari ini bagi melonjakkan kedudukan pasukan itu dalam carta Liga Perdana. Sementara itu, Shafiq, 21 tidak menyangka dapat melakukan hatrik pada perlawanan itu dan berterima kasih kepada beberapa rakan sepasukan seperti kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak yang membantunya mencipta jaringan. "Syukur kerana dapat menjaringkan tiga gol dan semua ini hasil bantuan daripada rakan sepasukan selain doa daripada ibu bapa saya sendiri,"katanya yang merupakan anak kepada bekas pemain kebangsaan era 70-an, Shaharuddin Abdullah itu. Pada masa sama, Shafiq turut menyatakan kesediaan untuk dipanggil untuk sesi pemilihan pemain ke Sukan SEA 2015 di Singapura oleh bekas pengendali skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee yang kini diberikan peranan oleh FAM selaku pencari bakat skuad B-23 ke temasya sukan dwi tahunan itu. Shafiq sebelum ini mendapat peluang untuk menyertai pemilihan skuad Harimau Muda B kendalian Razip Ismail dalam saingan Liga Singapura 2014 namun gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan itu.