KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 2015-2018 Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat, dibatalkan. Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah berikutan itu, pencalonan untuk pemilihan anggota majlis tertinggi badan induk sukan hoki itu secara langsung turut terbatal. | Baginda menjelaskan pembatalan itu dibuat kerana masalah perlembagaan MHC perlu dipinda bagi melicinkan proses mesyuarat AGM dan EGM akan datang. "Mesyuarat AGM dan EGM hari ini tidak dapat dilakukan kerana beberapa pihak berkepentingan tidak bersetuju dengan mesyuarat sebelum ini berhubung pindaan perlembagaan. "Saya rasa terkilan sedikit dan sedih kerana masa mengambil alih kepimpinan,saya diberi tanggungjawab untuk memimpin hoki dan saya sentiasa mencuba untuk mengenali dengan lebih rapat pemimpin dalam persatuan. "Namun sejak kebelakangan ini, saya terkejut dengan pelbagai isu yang timbul mengenai MHC. Jangan bertindak seperti kebudak-budakan. Sepatutnya kita perlu menjadi sebuah organisasi yang bertaraf dunia," titah Tengku Abdullah ketika berucap pada majlis itu pada Jumaat. Baginda turut mengemukakan cadangan supaya pindaan perlembagaan itu dilangsungkan semula menerusi mesyuarat anggota majlis pada 1 Mac ini. Tengku Abdullah bertitah AGM dan EGM yang baharu akan diadakan pada Mei ini. "Saya berharap pihak pentadbiran (Anggota Majlis) akan dapat menentukan tarikh yang sesuai (untuk adakan AGM), dan saya harap kalau boleh pertengahan Mei ini kita dapat selesaikan. "Sebelum EGM itu, senarai baharu pencalonan untuk pemilihan perlu dikemukakan semula...21 hari selepas EGM. Saya berharap semua dapat memahaminya. "Saya berdiri di sini selaku presiden MHC dan pada masa sama sebagai presiden Persekutuan Hoki Asia. Malaysia sepatutnya dicontohi dan bukannya dimalukan. Bila buat pemilihan, pilihlah yang terbaik," titah Tengku Abdullah. Pada Jumaat lepas, Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman tidak meluluskan pindaan perlembagaan dilakukan MHC sewaktu EGM di Johor Baharu pada 13 Oktober lepas kerana tidak teratur dan gagal mencukupi korum. Situasi itu menyebabkan MHC terpaksa mengadakan semula EGM sekiranya tetapmahu menggunakan pindaan perlembagaan baharu atau meneruskan AGM dengan akta lama yang diluluskan pada 2011.