suria

Piala FAM: Wan Aliff Mahu Jadi Penyerang Prolifik

Aksi Wan Mohd Aliff (kanan) ketika perlawanan persahabatan bertemu AirAsia baru-baru ini. Foto: Asiana.my
KUALA LUMPUR: Wan Mohd Aliff Wan Jasmi mungkin bukan nama besar dalam arena bola sepak tempatan, namun penyerang Real Mulia FC ini membawa impian besar mahu mencipta nama selaku penyerang prolifik apabila saingan Piala FAM membuka tirai secara rasminya pada 8 Mac ini.

Selaku pasukan baharu yang beraksi dalam Piala FAM musim ini, Real Mulia FC tidak gentar dan bakal turun menentang Sungai Ara FC di Stadium Akademi Maybank, Bangi. 

Bekas penyerang Terengganu, T-Team dan PBAPP FC ini berkata, dia sudah bersedia untuk menerajui jentera serangan RMFC yang turut diperkuatkan bekas penyerang Harimau Muda B, Farizzuan Azhar.

"Ia sudah tentu bukan satu musim yang mudah, tetapi saya percaya ini masanya untuk membuktikan keupayaan saya.

"Menjadi idaman setiap penyerang untuk sentiasa menjaringkan gol-gol penting buat pasukan dan begitu juga dengan saya.

“Keyakinan dan motivasi saya cukup tinggi apatah lagi saya sudah mula menjaringkan gol sejak beberapa perlawanan lalu (pra-musim) dan ia satu tonik yang baik jika dapat memulakan musim dengan langkah kanan apabila menentang Sungai Ara FC,” kata pemain berusia 27 tahun ini.

Wan Aliff, atau lebih dikenali sebagai ‘Katang’ percaya pengalaman dimiliki beberapa pemain senior seperti Khairan Ezuan Razali, Syamsuri Mustafa dan Badrulhisani Abdul Rahman adalah signifikan di dalam memacu perjuangan RMFC musim ini untuk menjadi dua pasukan terbaik Piala FAM.  

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan