> Pemain dari Brazil itu gagal memikat hati Louis van Gaal > Rafael hanya berjaya membuat sembilan penampilan musim ini > Pada suatu ketika dia dilihat sebagai bintang muda yang berbakat > Manchester United kini bersedia menjualnya kepada kelab lain > Kelab dari Brazil menunjukkan minat mendalam KARIER pemain pertahanan Manchester United dari Brazil, Rafael da Silva bersama kelab itu kini hanya menghitung hari. Akhbar The Daily Mail melaporkan yang United telah bersedia untuk mendengar tawaran daripada mana-mana kelab untuk pemain berusia 24 tahun itu. Sir Alex Ferguson adalah orang yang bertanggungjawab membeli pemain ini bersama saudara kembarnya Fabio ketika mereka masih lagi berusia belasan tahun pada tahun 2008. Sejak itu mereka menjadi hero yang dipuja di Old Trafford tetapi Louis van Gaal tidak kagum dengan corak permainan Rafael. Walaupun telah mewakil United sebanyak 108 kali tetapi di bawah Van Gaal, Rafael hanya berpeluang bermain sebanyak sembilan kali sahaja. Dan kini dia sudah pulih dari kecederaan tetapi Rafael tidak disenaraikan langsung dalam dua perlawanan terakhir menentang Sunderland dan Newcastle. Sikap juang Rafael dan keberaniannya mengambil risiko menjadikannya berstatus hero di Old Trafford dan digemari oleh para peminat setia United. Sebaliknya musim ini, Van Gaal lebih gemar menggunakan khidmat Paddy McNair di bek kanan setiap kali pemain regular tidak dapat diturunkan kerana kecederaan. Kali terakhir Rafael diturunkan ialah dalam perlawanan Piala FA menentang Yeovil pada 4 Januari lalu yang menyaksikan mereka menang 2-0. Kontraknya masih berbaki 12 bulan sahaja lagi dan biasanya jika United mahu mengekalkan seseorang pemain itu mereka sudah memulakan rundingan penyambungan kontrak sekarang. Malangnya, perbincangan mengenai perlanjutan kontrak Rafael masih belum dimula. Menurut Daily Mail, kelab Brazil, Cruzeiro merupakan satu-satunya kelab yang setakat ini menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Rafael. Musim yang paling cemerlang buat Rafael ialah pada tahun 2012-13 yang menyaksikannya bermain lebih 40 kali untuk United dalam pelbagai perlawanan. Sepanjang bersama United, Rafael telah memenangi kejuaraan liga perdana sebanyak tiga kali (2008–09, 2010–11, 2012–13); Piala Liga (2009–10); Piala Sumbangsih tiga kali (2008, 2011, 2013); Piala Kelab Fifa (2008) dan dua kali naib juara Piala Eropah (2008–09, 2010–11). Sebelum menyertai United, Rafael bermain untuk sebuah lagi kelab Brazil iaitu Fluminense antara 2005–2008. Di peringkat antarabangsa, dia pernah terpilih mewakili Brazil sebanyak dua kali pada tahun 2012.