> Usaha mencari pembeli baru pasukan F1 Caterham tidak berhasil > Tidak ada pembida yang berminat untuk memulihkannya > Semua peralatan pasukan F1 itu kini akan dilelong > Pasukan itu telah diletakkan di bawah pentadbiran khas sejak Oktober lalu > Masalah kewangan dan perbalahan antara pemilik dan bekas pemilik menjejaskan Caterham AKHIRNYA, pasukan F1 Caterham tersungkur jua dan mereka tidak lagi berupaya untuk diselamatkan dan mengambil bahagian dalam perlumbaan musim baru yang akan bermula hujung bulan ini di GP Australia. Kesemua aset milik Caterham yang masih ada akan dilelong minggu ini sekaligus menandakan berakhirnya satu perjalanan yang sukar dan memilukan. Caterham diletakkan di bawah pentadbiran khas sejak Oktober tahun lalu selepas timbul perbalahan antara pemilik baru dan pemilik lama sehingga menyebabkan aliran modal terjejas dan pasukan itu terpaksa membuang pekerja dan tidak mengambil bahagian dalam beberapa perlumbaan. Pemilik terakhir Caterham adalah Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pengerusi kelab Liga Perdana Inggeris, QPR sebelum ia bertukar tangan kepada satu konsortium baru. Bagaimanapun konsortium baru itu dikatakan telah menyerahkan semula pasukan tersebut kepada Fernandes dengan alasan, terma-terma penjualan dan pembelian tidak dipatuhi. Menjelang penghujung musim, para peminat F1 telah bersatu hati mengumpul dana untuk membolehkan pasukan itu berlumba semula di GP Abu Dhabi selepas mereka gagal mengambil bahagian dalam GP Amerika Syarikat dan GP Brazil. Kini nampaknya, GP Abu Dhabi menjadi yang terakhir buat jentera Caterham berlumba dalam trek Formula Satu. Walaupun pihak pentadbir khas masa itu, Smith & Williamson berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Caterham dengan mencari pembeli baru yang berpotensi tetapi akhirnya tidak ada pembida yang serius bersedia mengambil alih pasukan malang itu. Menjelang hujung minggu ini dan bulan-bulan seterusnya, aset terakhir Caterham akan dibuka untuk dibida di atas meja lelongan oleh firma lelongan Britain, Wyles Hardy & Co. Lelongan pertama yang akan dilangsungkan di Pusat Sukan Caterham akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut mulai Rabu. Antara aset yang akan dilelong termasuklah peralatan lumba dan laluan pit, chassis model 014, peralatan ujian dan bengkel, memorabilia pasukan Caterham, pakaian rasmi pasukan, peralatan berjenama Caterham, panel lama kenderaan lumba Caterham, komponen jentera, kereta lumba pertunjukkan, peralatan IT dan pejabat. Kesemuanya mewakili satu saat yang sedih buat pasukan Caterham yang menyertai perlumbaan F1 pada 2010 dengan harapan dan aspirasi yang cukup tinggi hanya untuk berakhir dengan penutupan yang memilukan.