KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, kempen 'Football is GREAT' dilancarkan di pusat membeli belah Avenue K,pada Khamis. Kempen selama enam minggu (19 Mac hingga 1 Mei) ini diadakan di ruang legar pusat membeli belah tersebut, dilengkapi dengan padang mini AstroTurf bagi memberi peluang kepada peminat-peminat bola sepak menunjukkan kehebatan masing-masing. Lebih menarik, kempen yang mempamerkan warisan bola sepak Britain yang diuruskan dengan kerjasama Museum Bola Sepak turut menyediakan ruang khas untuk mempamerkan trofi berprestij Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kini menjadi buruan kelab-kelab terkemuka sebelum berakhirnya saingan pada 24 Mei ini. Kedudukan terkini liga menyaksikan kelab Chelsea masih menguasai di tangga teratas dengan 64 mata dalam 28 perlawanan, diikuti Manchester City (58) dengan 29 aksi, Arsenal (57) manakala Manchester United dengan 56 mata. Menurut Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell, Malaysia negara pertama di Asia yang dipilih oleh VisitBritain untuk mengadakan kempen ini. "Rakyat British dan Malaysia berkongsi semangat bola sepak yang sama, malah turut mempromosikan negara kami menerusi sektor pelancongan. "Dan Malaysia dipilih kerana jumlah peminat-peminat Liga Perdana Inggeris yang luar biasa berbanding dengan negara Asia lain. "Sebagai contoh, pada tahun 2011 ketika kunjungan jelajah pra-musim Liverpool menentang pasukan Pilihan Malaysia, Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan dengan 85,000 peminat. "Jadi saya yakin kempen ini amat sesuai dilancarkan di sini sebelum diteruskan ke negara lain," jelasnya melancarkan kempen tersebut. Sepanjang tempoh kempen ini berlangsung, British Council juga turut memainkan peranan dengan membuat tayangan eksklusif 'Bend Like Beckam' dalam mempromosikan program Premier Skills dan memberi galakan penglibatan lebih ramai golongan wanita dalam acara bola sepak di Malaysia. Selain itu, kempen Football is GREAT ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong ke United Kingdom berkongsi inspirasi dalam pelbagai bidang termasuk aksi Liga Perdana Inggeris yang sememangnya telah memartabatkan bidang eksport negara itu.