suria

Pahang Rasai Kekurangan Tanpa Kelibat Pemain Utama

Kapten Pahang Damion Delano Stewart (tiga,kanan) menghalang pemain South China AA FC Daniel McBreen (dua,kanan) ketika perlawanan Piala AFC menentang wakil Hong Kong itu di Stadium Darul Makmur, Rabu malam. Keputusan semasa mencatatkan Pahang 0-1 South China AA FC.

KUANTAN: 'Kehilangan' beberapa pemain tonggak dalam  kesebelasan utama ternyata memberi kesan buat Pahang untuk menyekat South China yang mencipta kemenangan menerusi jaringan tunggal dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di halaman sendiri, Rabu malam.

Pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan berkata, memang tidak dinafikan ketiadaan beberapa pemain utama, tambah menyukarkan lagi pasukan dari pantai timur itu mencipta kejayaan.

"Ketiadaan mereka sedikit menjejaskan prestasi pasukan terutama pada bahagian serangan yang gagal menyempurnakan banyak peluang yang terhidang.

"Walaupun keseluruhan perlawanan berjaya dikuasai Pahang namun tiada tindakan penyudah yang sempurna dapat diatur oleh pemain," katanya kepada pemberita selepas mengharungi perlawanan yang berkesudahan Pahang 0 South China 1 di sini, Rabu.

Pahang terpaksa merehatkan beberapa pemain utama iaitu Matias Ruben Conti, Dickson Nwakaeme dan Fauzi Roslan yang dibelenggu dengan masalah kecederaan selain Razman Roslan yang digantung perlawanan.

Namun, Zainal tetap memberi pujian kepada pemainnya yang telah menunjukkan komitmen dan bermain dengan kemampuan sepenuhnya.

Katanya, kebanyakan barisan pemain muda yang diturunkan malam tadi tidak  mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa dan kejohanan itu merupakan pengalaman pertama buat mereka.

Dalam pada itu, Zainal akan cuba memastikan baki perlawanan dalam Kumpulan G, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan itu untuk mengorak langkah ke pusingan seterusnya.

Pada perlawanan pembukaan, Pahang menang tipis 3-2 ke atas kelab Myanmar, Yadanarbon FC di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar pada Februari lepas sebelum seri tanpa jaringan Global FC di sini, Sabtu lepas.

Selepas tewas 1-0 dengan South China FC malam tadi, pasukan Pahang dijadual akan meneruskan kempen Piala AFC untuk menentang pasukan sama pada saingan timbal balik di Hong Kong, 15 April ini.

Kemudian skuad Tok Gajah itu, akan berdepan dengan Yadanarbon FC pada 29 April di halaman sendiri sebelum terbang ke Filipina untuk berdepan dengan Global FC pada 13 Mei.

Pahang kini mengumpul empat mata diikuti Yadanarbon FC (tiga mata) dan Global FC (satu mata) di belakang pendahulu Kumpulan G, South China (enam mata) selepas tiga perlawanan.-- Bernama

Tok Gajah, Pahang, AFC, South China

Artikel Sebelum

Artikel Lain