PERSEKUTUAN Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Grand Prix Formula Satu (F1) Jerman digugurkan daripada kalender perlumbaan 2015. Keputusan itu dibuat selepas pemegang hak siaran tempatan dan Bernie Ecclestone gagal mencapai kata sepakat, sekali gus menjadikan saingan musim ini menjadi 19 pusingan. Perlumbaan di Nuerburgring dijadualkan pada 19 Julai berdasarkan perjanjian bersilang dengan Hockenheim yang menjadi hos pada saingan musim lalu dan mempunyai perjanjian untuk tahun 2016. Jurucakap di Nuerburgring berkata, litar ini tidak dapat digunakan buat masa ini kerana berkaitan dengan masalah pengurusan dan kewangan. Pada Selasa lalu, bos Hockenheim, Georg Seiler menarik diri selepas supremo F1, Ecclestone mengumumkan trek itu tetap menjadi pilihan kedua. Kedua-dua litar di Jerman itu mengalami masalah kewangan yang menyaksikan Hockenheim yang memikul tanggungjawab tersebut terpaksa menanggung kerugian besar berikutan kemerosotan kehadiran penonton ke litar beberapa tahun kebelakangan ini. Litar Nuerburgring merupakan salah sebuah venue sukan yang bersejarah dengan mengekalkan trek asal sejak zaman pra Perang Dunia Kedua. "Amat kecewa selepas mendapat tahu tidak ada lagi perlumbaan GP tahun ini," jelas pelumba Jerman dari pasukan Force India, Nico Huelkenberg di laman Twitternya. Sebagai rekod, dua pelumba kelahiran Jerman yang mencatat kejayaan cemerlang ialah Michael Schumacher dengan tujuh kali rekod dunia serta 91 perlumbaan serta Sebastian Vettel mencatat empat kali gelaran dunia. Bagaimanapun kehadiran penyokong ke litar ini semakin merosot selepas Schumacher yang menjuarai lima gelaran bersama Ferrari bersara pada tahun 2012 selepas gagal bersama pasukan lamanya, Mercedes. Hanya 52,000 orang peminat sahaja yang hadir di Hockenheim tahun lalu untuk menyaksikan seorang lagi pelumba kelahiran negara ini beraksi, Nico Rosberg yang mencatat kemenangan bersama Mercedes. Sebagai rekod, kejayaan pertama yang di catat pelumba Jerman di sini pada tahun 1930.