KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring Johor bangkit daripada kelesuan dengan mara ke peringkat akhir untuk bertemu Selangor pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan Ke-31 pada Ahad ini. Pada perlawanan separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu, Johor menewaskan juara bertahan, Pahang, dengan 40-26. Kali terakhir Johor menjadi juara ialah pada 2002 dan episod kemerosotan mereka bermula pada 2010. Ketua jurulatih Johor, Aminah Asaari, berkata beliau melihat para pemainnya mempamerkan corak permainan yang lebih bersemangat untuk mara ke final. "Saya harap mereka (pemain) dapat terus bermain seperti hari ini ataupun lebih baik lagi jika mahu bergelar juara. Dari segi saingan, mereka pasti menerima saingan sengit. "Hanya kesilapan yang dibuat di gelangang bakal menentukan siapa menang dan siapa kalah," katanya selepas perlawanan. Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan permainan yang penuh bertenaga di antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di mana Selangor menundukkan lawannya dengan 28-25. Jurulatih Selangor, Siti Fairus Md Mustappa, berkata pasukannya belum pernah mara ke final, namun beliau yakin dapat menundukkan Johor jika pasukannya dapat memberikan lebih saingan. Pada edisi ke-30 kejohanan itu, Selangor menamatkan saingan di kedudukan ketiga. Keputusan Separuh Akhir: Johor mn Pahang: 40-26 Selangor mn Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 28-25