suria

Sukan Sea: Skuad Memanah Ke Singapura Diputuskan Sebelum April

Para pemanah Nadi Universiti Sains Malaysia (USM) Elite Sports (dari kiri) Farhanah Faiqah E.Nasaruddin, Lim Pei Xi, Lau Jiun Sien dan Kelvin Hoo Kok Meng bersama pingat yang dimenangi mereka pada Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit Pertama 2015.

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia(NAAM) akan memutuskan skuad kebangsaan ke Sukan SEA Singapura sebelum 1 April ini.

Presidennya Mohd Yazid Yahya berkata anggota skuad itu akan dipilih berdasarkan prestasi atlet pada kejohanan Terbuka Bangkok, Thailand dari 16 hingga 22 Mac dan Kejohanan Memanah Kebangsaan (Sirkit 1) yang berakhir pada Sabtu.

"Prestasi atlet pelapis yang menyertai kejohanan (Memanah Kebangsaan) ini sangat memberangsangkan. Ada juga atlet muda, terutamanya dalam acara Compound, mampu menyaingi kehebatan atlet kebangsaan yang sedang beraksi diterbuka Bangkok sekarang.

"Skuad ke Sukan SEA akan ditentukan berdasarkan prestasi atlet kita dikedua-dua kejohanan ini," katanya kepada Bernama pada penutup kejohanan itudi Kompleks Sukan Keramat di sini.

Selain itu, katanya persatuan itu juga melantik Leftenan Komander Ibrahim Haron sebagai pengurus pasukan kebangsaan ke Sukan SEA yang akan berlangsung pada 5 hingga 16 Jun ini, bagi menggantikan pengurus terdahulu yang menarik diri.  

Seramai 284 atlet dari 28 pasukan menyertai kejohanan empat hari itu, yang menjadi batu lonjakan kepada atlet muda untuk mengasah bakat mereka dalam sukan yang memerlukan fokus mendalam itu.

Mencuri tumpuan pada kejohanan kali ini ialah pemanah kategori Compound kelahiran Sarawak, Lau Jiun Sien, 23, yang meraih empat pingat emas dalam acara pusingan kelayakan 50m keseluruhan, olimpik individu, olimpik berpasukan (wanita) dan olimpik berpasukan campuran dari pasukan Nadi-USM-Elite Sports.

"Saya sangat bangga dan tidak menyangka dapat memenangi pingat sebanyak ini. Saya harap saya akan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa suatu hari nanti," kata pelajar tahun tiga bidang Sains Sukan di Universiti Sains Malaysia itu. 

Sementara itu, Pengarah kejohanan, Rahimi Ahmad Sulaiman berkata program pembangunan oleh semua pihak berkaitan telah membuahkan hasilnya kerana pencapaian atlet pelapis pada kejohanan itu sangat memberangsangkan.

"Saya lihat ramai atlet muda yang mampu ke pusingan akhir, ini menunjukkan program pembangunan sukan memanah berjaya menghasilkan pemuda yang berpotensi untuk bersaing di pentas antarabangsa," kata Rahimi yang juga merupakan Penasihat NAAM. 

Antara pemanah muda yang mencipta kejutan pada kejohanan itu ialah Muhd Syauqi Azmi, 15, Caroline Fread, 17, dan Brian Wong, 16, dari pasukan Sabah Archers.

skuad memanah

Artikel Lain