KUALA LUMPUR: Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas Formula One, Nico Rosberg, optimis Petronas sebagai rakan teknikal dan pengeluar bahan api bagi pasukan itu dapat mengekalkan kejuaraan kategori Pengeluar Dunia Formula 1 FIA musim ini. Selain pasukan Mercedes AMG Petronas yang menjuarai kategori itu tahun lepas, pemandu dari Great Britain, Lewis Hamilton, turut merangkul gelaran keseluruhan manakala Rosberg menduduki carta kedua. Rosberg berkata kerjasama dengan Petronas benar-benar mengagumkan dan Petronas Syntium terbukti melakar formula kemenangan bagi pasukannya pada tahun lepas. "Dilengkapi dengan formulasi yang unik, ia melindungi enjin kami daripada suhu yang ekstrem dan pada masa sama, mengekalkan prestasi enjin yang optimum. "Dengan kepakaran Petronas, saya teruja tentang prospek untuk mencatatkan satu lagi prestasi cemerlang tahun ini," katanya pada pelancaran Petronas Syntium 'Cooltech' di dataran Suria KLCC di sini, Sabtu. Rosberg juga yakin bahawa beliau dan Hamilton sekali lagi kekal sebagai pendahulu pada kejohanan itu di Litar Sepang hujung minggu depan. Hamilton meraih gelaran Grand Prix Petronas Australia 2015 diikuti oleh Rosberg manakala pelumba Scuderia Ferrari, Sebastian Vettel, menduduki tempat ketiga. "Hujung minggu lepas, kami beraksi dalam perlumbaan yang hebat...kami sentiasa bersaing satu sama lain untuk berada di kedudukan lebih tinggi. "Kami mahu memberi saingan yang menakjubkan. Dengan mewakili Petronas, kami amat yakin untuk muncul juara di Litar Sepang," kata Rosberg.