Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata pengenalan KPI itu adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan yang dicadangkan oleh Pengarah Teknikal baharunya, Morten Frost Hansen.
"Pada amnya, kami amat berpuas hati dengan pembentangan Frost dan kami setuju dengan cadangannya.
Jurulatih BAM akan diberi kontrak baharu dengan KPI.
Sementara itu, Frost berkata di bawah penstrukturan baharu, keputusan akan dibuat secara kolektif selepas perbincangan dalam kalangan jurulatih dan pihak pengurusan.
Selain itu, katanya, semua jurulatih akan melaporkan kepada beliau dan tidak ada lagi ketua jurulatih untuk pemain.
Beliau berkata semua jurulatih akan menerima kontrak selama dua tahun tetapi akan dikaji semula setiap enam bulan.
"Apabila kita menetapkan sasaran untuk pemain, sudah pasti ia turut menjadi sasaran sama untuk dicapai oleh jurulatih," katanya.
Frost berkata sekiranya pihak pengurusan mahu menamatkan kontrak jurulatih atau jurulatih mahu meletak jawatan, kedua-dua pihak perlu memberi notis tiga bulan berbanding tempoh sebulan sebelum ini.
Beliau juga mengesahkan bahawa BAM akan mengambil empat lagi jurulatih baharu bagi mengisi kekurangan tenaga jurulatih yang dihadapi oleh persatuan itu.