KUALA LUMPUR: Aksi tunggal Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2015 berakhir apabila beregu utama wanita negara Vivian Kah Mun Hoo dan Woon Khe Wei tewas pada aksi suku akhir kepada pasangan dari China, Xian Hua-Tian Qing di Stadium Putra Bukit Jalil, Jumaat. Vivian-Khe Wei tewas mudah 21-3 21-10 dalam tempoh 29 minit sekaligus menyaksikan satu-satunya wakil negara yang berjaya mara ke pusingan ini akhirnya menemui jalan penamat. Pasangan beregu utama negara ini gagal menyaingi kepantasan gandingan pemain pilihan kelapan dari China dan serba tidak menjadi pada set pertama perlawanan walaupun mendapat sokongan padu daripada penyokong tempatan. "Kami mengaku ia satu perlawanan yang teruk. Pasukan lawan amat kuat untuk kami. Strategi hari ini langsung tidak menjadi. “Kami perlu lupakan kekalahan ini dan bersedia untuk kejohanan seterusnya, China Master,” jejas Vivian. Manakala Khe Wei berkata, status sebagai wakil tunggal negara yang beraksi dalam saingan ini juga turut memberi kesan kepada mereka. “Ia satu pencapaian yang baik tetapi setiap orang yang temui meminta agar kami bermain dengan baik. Itu perkara biasa sebagai harapan dan sokongan, tetapi ia memberi tekanan kepada kami. "Namun kami tidak salahkan sesiapa dan perlu lupakan kekalahan ini," jelas Khe Wei. Dalam pada itu, kedudukan ranking Dunia BWF yang dikeluarkan pada Khamis menyaksikan Vivian-Khe Wei turun dua anak tangga berada tempat ke-18. Walaupun gagal melayakkan diri ke separuh akhir, sekurang-kurangnya pencapaian di kejohanan ini sedikit sebanyak menunjukkan peningkatan selepas gagal melangkah kaki ke aksi suku akhir pada saingan Terbuka India di New Delhi minggu lalu.