PUTRAJAYA: Triathlete Wanita Terbaik Malaysia yakin mampu bersaing dan menang perlumbaan Ironman 70.3 Putrajaya dalam kategori berpasukan wanita, Ahad ini. Nik Lini Hayati Nik Kazim, 45, yang beraksi dalam acara berbasikal akan ditemani dua rakannya, Sue Teoh dalam acara renang dan Joanne Grange bagi acara larian. "Tahun lepas saya sertai perlumbaan lengkap tapi kali ini kami berpasukan dan dari segi persediaan, saya buat kayuhan basikal tiga kali seminggu meliputi jarak 200km. "Manakala dua lagi ahli pasukan, mereka menjalani latihan sendiri dalam acara masing-masing. Saya harap tahun ini kemenangan berpihak kepada kami walaupun saya menjangkakan saingan daripada kumpulan lain," katanya kepada pemberita selepas sidang media perlumbaan itu, di sini, Jumaat. Perlumbaan edisi kedua itu meliputi jarak sejauh 70.3 km iaitu 1.9km untuk acara renang, 90km berbasikal dan 21.1km larian. Nik Lini Hayati merupakan wanita pertama dari Malaysia yang menghabiskan perlumbaan Ironman Langkawi pada tahun lepas. Sementara itu, seorang lagi wakil dari Malaysia, Mohd Sabki Arifin, 34, yang juga bekas atlet paratriathlon kategori PT3 berhasrat untuk sampai ke garisan penamat. "Tahun lepas saya sertai namun tak dapat habiskan perlumbaan sebab selepas 18km kayuhan, saya jatuh dan terpaksa menerima 16 jahitan di lutut. "Jadi tahun ini, sekali lagi saya sertai dan berharap kejadian sama tidak berulang," katanya yang kini berada di kedudukan ke-15 dunia dalam acara Paratriathlon. Sementara itu, juara dunia enam kali, Craig Alexander dari Australia menjangkakan perlumbaan pasti mencabar berbanding perlumbaan lain ekoran cuaca panas dan lembap. Alexander berkata beliau menyasarkan untuk memenangi perlumbaan di Putrajaya dan akan cuba menukar rentak dan pengambilan nutrien untuk menyesesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia. "Putrajaya sebuah tempat yang cantik untuk berlumba ... pemandangannya indah dan jalan raya amat baik. Saya gembira untuk berlumba di sini di Putrajaya," katanya.-- Bernama