suria

Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2015 November Ini

GEORGE TOWN: Larian maraton antarabangsa 'Asics Penang Bridge International Marathon 2015' akan berlangsung di jambatan Pulau Pinang pada 22 November ini.

Pengerusi pengelola larian, Danny Law Heng Kiang berkata, seramai 3,000 peserta telah mendaftar untuk menyertai acara tahunan itu sejak pendaftaran dalam talian dibuka 1 April lepas.

"Kami menjangka 40,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai larian maraton itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata, empat kategori akan dipertandingkan iaitu Maraton Penuh 42 kilometer untuk Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita; Separuh Maraton 21 kilometer (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita); 10 kilometer Terbuka (Lelaki dan Wanita); dan 10 kilometer (Junior Lelaki dan Junior Wanita).

Heng Kiang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Kebudayaan negeri, berkata peserta akan dilepaskan secara berperingkat mengikut kategori bermula pukul 1 pagi hingga 7.45 pagi.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau ingin membuat pendaftaran secara dalam talian boleh melayari www.penangmarathon.gov.my.-- Bernama



Artikel Berikut

Artikel Lain