suria

Piala AFC: JDT Tewaskan Kitchee SC 2-0

Pemain JDT, Jr Eldstal diasak dua pemain Kitchee, Kim Taemin dan Huang Yang pada perlawanan kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin pada Selasa malam. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan Kitchee SC 2-0 pada saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin di sini, pada Selasa malam.

Kejayaan JDT itu yang sebelum ini tumpas 0-2 ke atas pasukan dari Hong Kong tersebut di tempat lawan, membolehkan mereka menghuni semula tangga teratas Kumpulan F, setelah mengutip sembilan mata, manakala Kitchee SC di tempat kedua dengan tujuh mata.

Wakil dari India, East Bengal di tempat ketiga denga empat mata, sementara  pasukan Balestiar Khalse dari Singapura di kedudukan tercorot kumpulan berkenaan dengan tiga mata.

Pada aksi malam ini, JDT lebih banyak mengasak pintu gol lawan sejak dari awal permainan.

Usaha mereka berhasil apabila gol pertama pasukan kendalian Bojan Hodak itu hadir pada minit ke-17 menerusi pemain import, Luciano Figueroa yang berjaya menyempurnakan hantaran leret ketua pasukan Safiq Rahim.

Lo Kwan Yee hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-22, namun percubaan beliau dari sepakan jarak jauh berjaya dihalang penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Safiq terus bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol kedua skuad Harimau Selatan melalui sepakan penalti pada minit ke-42, selepas pertahanan lawan menjatuhkan S. Kunanlan dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, JDT dan Kitchee SC saling berbalas serangan, namun kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol.

JDT akan bertemu East Bengal di tempat lawan pada 28 April ini.

JDT, Piala AFC

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain