KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh mengakui pasukan Malaysia berada dalam kumpulan sengit pada pusingan kedua pra Kelayakan Piala Dunia 2018 Rusia (Peringkat Asia) dan Kelayakan Piala Asia UAE 2019 Jun ini. Malaysia diundi berada dalam Kumpulan A bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste. “Berdasarkan undian tersebut, saya akui saingan memang sengit tetapi sedikit lega kerana tidak bersama dengan pasukan Jepun, Korea Selatan, Australia ataupun Iran. “Aksi sukar mungkin berdepan dengan Arb Saudi atau UAE tetapi harapan untuk menang mungkin ada apabila bermain di tempat sendiri nanti. “Manakala pasukan Palestin dan Timor Leste ‘standard’ mereka lebih kurang sama dengan pasukan kita sahaja,” jelasnya selepas majlis undian bagi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan Piala Asia UAE 2019, Selasa. Dalam pada itu, Dollah berharap agar dia dapat bersama pemain-pemain dalam tempoh yang lama sebelum aksi kelayakan ini bermula pada Jun ini. “Apa yang penting saya memerlukan masa yang lebih panjang, bukan hanya tempoh seminggu sebelum perlawanan. Pasukan lain sudah lama membuat persiapan rapi. “Takkan untuk perlawanan penting ini saya hanya dapat seminggu sahaja? Apa pun esok (Rabu) akan ada mesyuarat bersama pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai persiapan perlawanan ini. “Kalau dapat terus bersama pemain-pemain sehingga perlawanan bermula lagi bagus,” tambahnya.