KUALA LUMPUR: Menjelang perlawaan pra Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2018 Rusia (Peringkat Asia) dan Piala Asia Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2019, pasukan Malaysia dijangka akan berangkat ke Jepun bagi persiapan menghadapi dua aksi tersebut. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) mengenai perancangan itu. “Skuad Dollah Salleh dan barisan jurulatih serta pegawai teknikal kemungkinan besar akan dihantar ke Jepun untuk menjalani persiapan dengan pasukan itu. “Dalam dua pusingan kelayakan ini, kami sasarkan untuk layak ke Piala Asia UAE 2019, yang mana 12 pasukan terbaik layak ke pusingan akhir secara merit, manakala 12 pasukan lagi ditentukan selepas satu lagi pusingan kelayakan diadakan. “Kita harap pemain yang dipilih untuk menyertai skuad Dollah pada Mei ini, mempunyai hasrat untuk merealisasikan harapan ini,” jelasnya selepas Majlis Undian Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2018 Rusia (Peringkat Asia) dan Piala Asia UAE 2019, Selasa. Malaysia pernah layak ke Piala Asia sebanyak dua pada 1976 dan 1980, manakala pada 2007, Malaysia layak secara automatik selaku tuan rumah. Dalam pada itu, Hamidin berkata, FAM akan melakukan pindaan jadual perlawanan Liga bagi memberi ruang kepada pengendali pasukan negara, Dollah Salleh membuat persediaan awal. "Mengikut undian, kita ada dua perlawanan di tempat sendiri pada Jun di Bukit Jalil, menentang Timor Leste (11 Jun) dan Palestin (16 Jun). Kita juga ada perlawanan pada September, Oktober, November dan dua perlawanan terakhir pada Mac tahun depan. "Jadi kita senang nak beri jalan kepada Dollah untuk sekurang-kurangnya, setiap perlawanan tersebut, dia ada sepuluh hari menyiapkan pasukan,” katanya. Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste.