SINGAPURA: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) memberi tinjauan menarik mengenai kawah obor temasya Sukan SEA, menandakan detik pengiraan selama sebulan sebelum perasmian temasya edisi ke-28 itu pada Rabu. Direka oleh pasukan arkitek tersohor Singapura, kawah tersebut terletak di Waterfront Plaza yang mudah diakses oleh orang awam. Sebagai salah satu struktur paling dikenali dan ikonik dalam mana-mana acara sukan utama, kawah tersebut juga bakal menyerikan lagi keindahan Lembangan Kallang. Dibina menggunakan 7.8 tan keluli tanpa karat dan setinggi 19.2 meter, kawah itu adalah sekeping seni acra elegan yang merangkumi intipati tema Sukan SEA serta konsep kreatif pertunjukkan acara perasmian. Kawah berbentuk DNA manusia itu melambangkan jalinan hubungan antara insan, komuniti dan negara sebagai identiti aspirasi perpaduan. Ia juga dilengkapi dengan jaringan LED dengan mempaparkan maklumat seperti masa dan cuaca semasa temasya sukan itu dari 5 hingga 16 Jun ini.-BERNAMA