KUALA NERUS: Kerajaan negeri Terengganu akan membaiki segera kerosakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) selepas perlawanan bola sepak Piala FA antara Terengganu dengan Lions XII Sabtu lalu. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerosakan yang berlaku ke atas cermin pintu masuk stadium dan kerusi tempat penonton yang dianggarkan bernilai RM150,000 itu, tidak termasuk kerosakan ambulan dan kenderaan lain di luar stadium. Setelah siasatan selesai dijalankan, kita mahu stadium itu dibaiki segera. "Stadium itu sebenarnya masih dalam proses dinaikitaraf setelah ia tidak digunakan kira-kira tujuh tahun lalu akibat bumbungnya runtuh, katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persediaan dan bantuan pembelian komputer pelajar universiti awam (UA) oleh Yayasan Terengganu, yang turut dihadiri Pengarahnya Mohamad Sulong. Mengenai penahanan 26 remaja oleh pasukan keselamatan pada malam kejadian, Ahmad Razif berharap perkara itu dapat diselesaikan segera. Katanya ini kerana beliau bimbang jika ada remaja yang tidak terlibat dengan kejadian keganasan itu turut ditahan. Tetapi kalau memang benar mereka terlibat dan mengetuai keganasan, merosakan kenderaan awam dan sebagainya, maka kita tidak berkompromi dalam hal ini, katanya. Stadium SMZA yang pertama kali digunakan itu sejak bumbungnya runtuh pada 2008 mengalami sedikit kerosakan akibat keganasan penonton yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil semasa perlawanan separuh akhir bola sepak Piala FA tempoh hari. Sementara itu, Mohamad Sulong berkata pada tahun ini seramai 22,000 pelajar yang mengambil ijazah, diploma serta matrikulasi akan menerima bantuan persediaan melibatkan peruntukan antara RM15 juta dan RM20 juta. Katanya pada Selasa seramai 153 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan persediaan masuk universiti dan membeli komputer, melibatkan peruntukan kira-kira RM100,000.