suria

FAM Gagal Jalankan Tugas - KJ

Pasukan keselamatan terpaksa mengiringi pengadil yang dibaling dengan objek oleh penyokong pasukan Terengganu selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Kesabaran Khairy Jamaluddin terhadap 'hooligan' atau samseng bola sepak semakin 'nipis' dan mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang terlibat.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, FAM berulang kali memberitahu situasi buruk seperti di Gong Badak masih di bawah kawalan, namun hakikatnya mereka gagal menjalankan tugas keselamatan di stadium.

"Mereka tidak menjalankan tugas dengan baik untuk menghalang kelakuan buruk di stadium dari masa ke semasa.

"Terbaharu insiden di Terengganu berkaitan rusuhan penyokong selepas separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Sabtu lalu.

"Saya benar-benar yakin FAM perlu duduk dan memanggil pasukan, pihak keselamatan (polis) serta pihak stadium berbincang bersama perancangan agar kelakuan buruk tersebut tidak berulang lagi," jelasnya pada sidang media selepas Majlis Pembaharuan Kerjasama Strategik Astro Arena bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur Golf& Country Club pada Rabu.

Jelas Khairy, FAM perlu beri perhatian lebih kepada isu keselamatan yang dianggap perkara paling asas.

"Sebelum FAM memulakan liga profesional atau pengurusan profesional, mereka perlu tahu mengenai keselamatan di stadium.

"Sesuatu yang berbahaya kepada penonton-penonton yang datang menyaksikan perlawanan. Ia sangat memalukan. FAM patut kaji semula langkah-langkah mengenai keselamatan agar ia tidak berulang lagi.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, ketidakpuasan kepada pengadil bukanlah alasan untuk menunjukkan kelakuan buruk. Pasukan tidak bertanggungjawab dengan kelakuan penyokong tetapi mereka perlu bertanggungjawab terhadap keadaan dalam stadium.

"Saya harap FAM cepat mengambil tindakan," jelasnya.

Sementara itu, Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata, jika FAM benar-benar ingin mengambil tindakan, jadikan persatuan bola sepak di Eropah sebagai contoh.

"Persatuan bola sepak di Eropah begitu tegas mengenai kelakuan penyokong dan musim ini juga terdapat beberapa kelab beraksi tanpa penyokong. Mungkin tindakan ini boleh digunakan untuk perlawanan seterusnya," jelasnya ringkas.

Dalam pada itu, Astro Arena bersetuju memperbaharui kerjasama strategik bersama MOM dalam menyediakan liputan media untuk persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah majlis itu untuk tempoh lima tahun, sehingga 2020.

"Kementerian Belia dan Sukan memuji kerjasama di antara Astro Arena dan MOM dalam meningkatkan kesedaran mengenai industri sukan.

"Liputan meluas Sukan SEA ke-28 (#ayuhMalaysiaku) di pelbagai platform adalah sesuatu yanga sangat baik," jelas Khairy dalam ucapannya pada majlis tersebut.

Selain itu Astro Arena turut meningkatkan tajaan RM2 juta kepada MOM berbanding RM1 juta dua tahun lalu untuk disalurkan kepada 13 acara termasuk program pembangunan.


Antara 13 buah persatuan sukan yang diberi perhatian adalah berbasikal, ragbi,kriket, bola keranjang, bola jaring, bola tampar, ping pong, karate, taekwando,gimnastik, skuash, tinju dan hoki.

Khairy Jamaluddin, FAM, Astro Arena

Artikel Lain