KUALA LUMPUR: Lagenda Brazil, Pele mengakui bahawa kapten pasukan Argentina, Lionel Messi adalah pemain terbaik di dunia. Bekas pemain Santos itu berkata, dia percaya Messi merupakan pemain terbaik dunia berdasarkan sumbangannya kepada Barcelona. “Saya memilih Messi sebagai pemain terbaik dunia kerana dia bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi bermain sebagai satu pasukan. “Dia juga merupakan seorang pemain yang sangat bijak dalam mencorak permainan Barcelona,” katanya. Pada musim ini, Messi telah menjaringkan 56 gol dalam semua pertandingan dan membantu pasukannya memenangi kejuaraan La Liga serta ke final Copa Del Rey dan juga perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Dalam pada itu, Pele yang pernah membantu Brazil menjuarai Piala Dunia tiga kali itu berkata, bilangan gol bukanlah satu-satunya aspek yang perlu dilihat dalam memilih pemain terbaik dunia. “Orang ramai selalu menganggap pemain terbaik dunia adalah pemain yang menjaringkan banyak gol. “Tetapi bagaimana pula dengan pemain lain seperti pemain tengah, pemain pertahanan, atau penjaga gol yang telah menjalankan tugas dengan baik? “Saya telah menjaringkan 1,282 gol sepanjang kerier saya dan saya tidak akan dapat menjaringkan gol sebanyak itu tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain,” katanya lagi.