suria

Nishikori Akhiri 82 Tahun 'Kemarau' Tenis Jepun Di Roland Garros

Nishikori berjaya memecah kesuraman tenis Jepun sejak 82 tahun lalu apabila bakal beraksi pada suku akhir Terbuka Perancis di Roland Garros, Ahad.

PEMAIN tenis nombor lima dunia, Kei Nishikori berharap prestasinya di Terbuka Perancis akan berterusan apabila berdepan saingan Jo-Wilfried Tsonga dalam perlawanan suku akhir di Roland Garros.

Nishikori menewaskan Teymuraz Gabashvili 6-3, 6-4, 6-2 dalam masa satu jam 58 minit untuk menjadi pemain Jepun pertama sejak Jiro Satoh pada 1933 untuk beraksi di peringkat lapan pemain terakhir.

"Saya berharap ia menjadi permulaan dalam perjalanan saya di kejohanan ini dan saya juga berharap dapat meneruskan saingan.

"Ini merupakan kali pertama saya berjaya mara ke pusingan suku akhir, jadi ia bermakna untuk saya.

"Ia sentiasa menjadi perkara utama untuk mencipta sejarah dan bagi pemain Asia terutama sekali pemain Jepun, beraksi di gelanggang tanah liat bukanlah perkara mudah, jadi saya berharap prestasi di gelanggang ini akan berterusan," katanya.

Walaupun memegang kelebihan rekod 4-1 menentang Tsonga, pemain berusia 25 tahun itu tidak akan mengambil mudah dengan keupayaan lawannya kerana ini merupakan kali pertama mereka akan berentap di gelanggang tanah liat.

Tambahan lagi, Nishikori merasakan Tsonga kini lebih bersemangat selepas menewaskan pemain nombor empat dunia, Tomas Berdych 6-3, 6-2, 6-7 (7), 6-3 serta mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Sudah lama kami tidak beraksi bersama-sama dan dia telah kembali dengan prestasi yang lebih baik.

"Dia mampu memberikan pukulan 'serve' dan pukulan depan yang kuat dan boleh dianggap sebagai pemain berbahaya, jadi ia akan menjadi perlawanan yang menarik," katanya lagi.

Kali terakhir kedua pemain ini berentap adalah pada kejohanan Paris Masters tahun lalu di mana Nishikori berjaya menundukkan Tsonga 6-1, 4-6, 6-4.

Artikel Lain