suria

Derby County Lantik Bekas Pen. Pengurus Real Madrid Sebagai Pengurus

Clement (tengah) bersama-sama Zidane (kiri) mendengar arahan pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti. Kini dia menjadi pengurus kelab Inggeris, Derby County.

KELAB Divisyen Satu Inggeris, Derby County telah melantik bekas penolong pengurus Real Madrid, Paul Clement sebagai pengurus mereka yang baru untuk tempoh selama tiga tahun.

Clement mengantikan Steve McClaren yang dipecat selepas gagal membawa Derby kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan.

Ini adalah jawatan pengurus yang pertama untuk Clement, 43, yang meninggalkan Real selepas kelab Sepanyol itu memecat Carlo Ancelotti.

Ancelotti adalah orang yang bertanggungjawab mengasah bakat Clement dalam bidang kejurulatihan bolasepak ketika dia menjadi pengurus Chelsea. Sebelum itu Clement adalah guru latihan jasmani di salah sebuah sekolah di London.

Kemudian, selepas Ancelotti berpindah ke PSG dan Real Madrid, dia turut membawa Clement sebagai penolongnya.

"Selepas dia mengutip pengalaman bersama Ancelotti di Chelsea, PSG dan Real Madrid, tidak ada siapa pun yang dapat menafikan lagi bahawa Paul kini adalah jurulatih yang paling dikehendaki dalam dunia bolasepak sekarang. Oleh yang demikian, kita berasa sangat bertuah kerana Clement telah menyatakan persetujuan untuk menyertai kita untuk tempoh tiga tahun," kata Ketua Pegawai Eksekutif Derby, Sam Rush.

Clement telah mengutip pengalaman melatih nama-nama besar dalam dunia bolasepak dari Didier Drogba, Zlatan Ibrahimovic sehinggalah kepada Cristiano Ronaldo.

Artikel Lain