suria

Luca Toni: Jadi Penjaring Terbanyak Liga Itali Pada Usia 38 Tahun

Luca Toni masih lagi berbisa walaupun usia menjangkau 38 tahun.

PADA usia 38 tahun, Luca Toni masih berupaya untuk muncul sebagai penjaring gol terbanyak Liga Itali sekaligus berkongsi anugerah kasut emas bersama penyerang Inter Milan, yang juga pemain antarabangsa Argentina, Mauro Icardi, 22.

Toni yang kini bermain untuk kelab tidak ternama, Hellas Verona menjaringkan golnya yang ke-22 dalam perlawanan menentang Juventus Sabtu lalu yang berkesudahan seri 2-2.

Tapi ini bukanlah pencapaian pertama bekas pemain Bayern Munich itu. Ia adalah kali kedua dia muncul sebagai penjaring terbanyak liga.

Sembilan tahun yang lalu, dia menjaringkan 31 gol untuk muncul penerima kasut emas Serie A ketika bersama  Fiorentina.

Tapi Toni bukanlah satu-satunya pemain bolasepak era moden yang masih berbisa walaupun sudah lanjut usia.

Bekas pemain Brazil dan pemenang Piala Dunia, Romario telah menjaringkan 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya selama 20 tahun.

Gol yang keseribu itu dijaringkan pada Mei 2007 ketika dia bermain untuk kelab Vasco da Gama di negara kelahirannya, Brazil.

Ketika itu Romario sudah pun berusia 41 tahun dan digelar dengan panggilan 'Super Mario'.

Seorang lagi pemain bolasepak yang mencatat sejarah pada usia yang lanjut tidak lain dan tidak bukan, penyerang Jerman, Miroslav Klose.

Sepertimana Toni, Klose masih bermain di peringkat tertinggi pada usia 37 tahun.

Musim ini, penyerang Lazio itu masih mampu menjaringkan 16 gol dan tahun lalu, dia menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam temasya Piala Dunia dengan mencatatkan golnya yang ke-16 merentasi tiga piala dunia.

Sementara itu bekas penyerang dan kapten Real Madrid, Raul masih belum mahu mengantung but dan buat masa ini masih bermain di Liga Bola Amerika Utara bersama kelab terkemuka New York Cosmos.

Raul yang kini berusia 37 tahun telah menghasilkan 300 gol sepanjang kariernya bersama Real dan baru-baru ini dia masih menjaringkan gol untuk kelab barunya New York Cosmos.

Tetapi tidak ada mana-mana bintang pun yang dapat menandingi rekod yang dipegang oleh bekas bintang Manchester United, Teddy Sheringham menjadi pemain paling tua menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris pada tahun 2006 apabila dia menjaringkan gol untuk West Ham United pada usia 40 tahun dan 268 hari.

Artikel Lain