suria

Perlumbaan Di Mugello Paling Buruk Dalam Kerjaya - Zulfahmi

Zulfahmi berbincang sesuatu dengan pengurus pasukan Johan Stigefelt (dua kanan).

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin,yang pernah diberi amaran supaya menunjukan prestasi terbaik musim ini,menampilkan persembahan buruk apabila sekadar menduduki tempat ke-26 daripada 28 pelumba yang menamatkan saingan pada MotoGP Dunia di Grand Prix Itali diMugello, Isnin.

Pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing Team itu memulakan saingan daripada petak ke-25 daripada 36 pelumba dan mencapai kedudukan ke-19 sebaik melepasi pusingan pertama.

Bagaimanapun, kegagalan mengatasi masalah teknikal pada kenderaannya sejak sesi latihan telah menyebabkan pelumba berusia 23 tahun itu gagal mengutip mata.

"Hari ini saya percaya adalah perlumbaan paling buruk dalam kerjaya saya. Pagi tadi semasa memanaskan badan saya hilang keyakinan. Saya merasakan perbezaan ketara pada motor. Ia banyak bergerak di selekoh terutamanya di sebelah kanan.

"Kami cuba menyelesaikan masalah selepas sesi (latihan) tetapi kami gagal menemui puncanya. Semasa perlumbaan saya dapat merasakan peredam pada kemudi sudah pecah dan apabila saya membelok ke kanan saya dapat merasakan kelainan dan ia tidak stabil sama sekali.

"Saya tahu tidak ada apa yang saya boleh lakukan jadi saya teruskan perlumbaan sebaik yang termampu kerana saya tidak mahu mengalah," katanya dalam kenyataan.

Selepas enam pusingan musim ini, Zulfahmi menduduki tempat ke-25 keseluruhan dengan mengumpul dua mata.

Sementara itu rakan sepasukannya dari Republik Czech, Jakub Kornfeil menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang perlumbaan dengan berada pada kedudukan keenam sehingga terbabas pada pusingan terakhir.

Bagaimanapun, beliau berjaya bangkit dan masuk semula ke litar dan meneruskan perlumbaan dengan menamatkaan saingan pada kedudukan ke-16.

Beliau kini menduduki tangga ke-16 keseluruhan dengan 17 mata.

Pada Mac lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali membayangkan musim 2015 ini mungkin akan menjadi penampilan terakhir Zulfahmi bersama SIC Racing Team seandainya pelumba itu gagal mencapaisasaran 10 terbaik dalam setiap pusingan.

MotoGP, Moto3, Zulfahmi Khairuddin

Artikel Lain