PEMAIN tengah Juventus, Paul Pogba percaya dia membuat keputusan yang tepat apabila meninggalkan Manchester United dan menyertai Juventus kerana kelab berkenaan kini berjaya sampai ke perlawanan akhir Juara Liga-Liga Eropah (UCL) untuk menentang Barcelona. Pemain berusia 23 tahun itu menjadi salah bintang muda berpotensi tinggi sukan ini selepas berpindah ke Turin pada musim panas 2012 selepas kontraknya bersama United tamat. Pogba menjadi antara pemain utama bagi pasukan kendalian Massimiliano Allegri yang telah memenangi kejuaraan Serie A buat kali keempat berturut-turut dan kini menjadi buruan kelab-kelab besar di Eropah seperti Real Madrid, Barcelona, Paris Saint-Germain, Manchester City, serta United sendiri. Walaupun United dilihat berminat untuk mendapatkan semula khidmat Pogba, pemain kebangsaan Perancis itu menegaskan keputusan yang dibuat adalah tepat berikutan kegagalan Ferguson untuk memberikan masa bermain bersama pasukan utama. "Ya pastinya saya gembira sepanjang berada di Turin dan saya tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat kerana saya berasa seronok beraksi di sini. "Saya akan beraksi di perlawanan akhir UCL bersama Juventus dan bukan bersama United jadi semuanya berjalan lancar bagi saya," kata Pogba. City sudah bersedia untuk membayar jumlah yang diminta oleh Juventus untuk Pogba dan Madrid dilihat bersungguh-sungguh untuk menguatkan lagi skuad selepas menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi serta memecat pengurus pasukan, Carlo Ancelotti. Pogba juga menjelaskan dia tidak akan membenarkan apa-apa perkara mengganggu konsentrasinya sebelum menentang Barcelona pada awal pagi Ahad. "Biar orang ramai fikir apa yang mereka mahu," kata Pogba apabila ditanya sama ada perlawanan akhir ini akan menjadi kali terakhir pemain itu beraksi bersama Juventus. "Ini adalah perlawanan akhir dan ia merupakan perlawanan akhir yang besar bagi saya jadi saya hanya mahu fokus terhadap perlawanan itu," katanya lagi.