AKSI cemerlang Datuk Lee Chong Wei pada perlawanan menentang pemain Denmark Rasmus Fladberg melayakkannya ke pusingan ketiga Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS). Bekas juara dunia itu memerlukan hanya 33 minit untuk menewaskan Fladberg dalam usahanya merangkul kejuaraan pertama selepas memenuhi hukuman penggantungan selama lapan bulan. Berlangsung di Suffolk Country Community College, New York, Chong Wei mencatat kemenangan mudah 21-13, 21-11 untuk menempah tiket ke pusingan ketiga bertemu wakil China Kai Guo, Jumaat. Jurulatih perseorangan negara Hendrawan berkata, fokus utama Chong Wei beraksi di kejohanan itu adalah untuk memperbaiki rankingnya. “Kalau melihat kepada barisan pemain yang beraksi di saingan ini, sememangnya tidak banyak pemain utama di sini. “Tapi untuk Chong Wei, dia perlu sesuaikan diri dengan cepat kerana sudah lama tidak beraksi. “Apapun, Kejohanan Dunia adalah keutamaan Chong Wei tahun ini. “Kalau menang saingan ini ia adalah bonus kerana pasti dapat meningkatkan ranking dia dengan lebih cepat,” katanya.