LONDON: Bintang Arsenal, Jack Wilshere didenda £40,000 (RM235,000) dan diberi amaran selepas didapati bersalah kerana berkelakuan tidak senonoh dan mengeluarkan kenyataan kontroversi terhadap kelab Tottenham. Pemain England berusia 23 tahun itu menggunakan mikrofon dan mengetuai penyokong dalam dua nyanyian tidak sopan mengenai musuh tradisi mereka itu ketika berarak dalam sehari selepas Arsenal menang 4-0 ke atas Aston Vila pada final Piala FA bulan lalu. “Pemain Arsenal, Jack Wilshere didenda £40,000 dan diberi amaran keras mengenai kelakuannya. Dia mengaku bersalah terhadap tuduhan salah laku itu. “Wilshere didapati bersalah melakukan komen tidak sepatutnya ketika jelajah trofi dalam bas tidak berbumbung selepas kejayaan final Piala FA kerana kelakuannya tidak senonoh dan mampu mencetus pertikaian,” menurut kenyataan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris. Wilshere menyatakan kekesalan mengenai sikapnya itu. “Berkongsi kemenangan Piala FA berturut-turut dengan ramai penyokong Gooners satu impian menjadi kenyataan. Mohon maaf jika saya menyinggung perasaan anda dengan cara saya meraikannya,” tulisnya dalam Twitter selepas insiden itu. - AFP