suria

Penyerang Import Terengganu Paulo Rangel Digantung Enam Bulan - FAM

Paulo Rangel.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung penyerang import pasukan Terengganu, Paulo Rangel selama enam bulan berkuat kuasa Sabtu.

FAM dalam kenyataan berkata Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada Jumaat memutuskan bahawa Rangel didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil, yang melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

Pemain kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu melakukan kesalahan tersebut ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lepas.

"Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015 yang mana pemain (Rangel) dikenakan penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (dari 20 Jun hingga 19 Sept) dan baki tiga bulan (dari 20 September hingga 19 Disember) adalah ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain.

"Jika pemain melakukan perlanggaran serius di bawah Artikel 49 Kod Tatatertib FAM 2015, baki penggantungan tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap pemain. Rangel juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan," menurut kenyataan itu.

FAM berkata keputusan tersebut boleh dirayu. Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pula didenda RM5,000 dan dilucutkan hak bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Lions XII kerana kesalahan menurunkan pemain yang tidak layak.

Tindakan JDT II pada perlawanan itu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 22 April lepas, didapati melanggar Artikel 57 para 1 Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Ketidaklayakkan'.

"Pasukan JDT II juga dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan jaringan JDT II 0 - 3 Lions XII, selain diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama," kata kenyataan itu.

Bagi hukuman yang tidak boleh dirayu itu, JDT II bagaimanapun tewas 0-2 kepada juara Piala FA 2015, Lions XII, pada perlawanan tersebut.

FAM, bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemain terbabit.

FAM, Paulo Rangel

Artikel Lain