ANDY Murray semakin hampir untuk meraih gelaran keempatnya dalam kejohanan ATP Queen selepas mencatat kemenangan mengagumkan 3-6 7-6 (2) 6-4 ke atas Gilles Muller di suku akhir. Pemain British itu telah dikalahkan dalam set pembukaan dengan beberapa servis tajam yang menyaksikan Muller menguasai permainan. Murray, pilihan pertama terus diberikan saingan sengit pada set kedua sebelum dia menang dengan mata 7-6. Set penentu akhirnya berpihak kepada Murray yang menyerang lawannya dengan beberapa pukulan kencang untuk mencatat kemenangan dalam masa satu jam dan 56 minit. Pemain nombor tiga dunia itu akan berdepan Viktor Troicki di peringkat separuh akhir selepas pemain Serbia itu mengenepikan John Isner 7-6 (5) 6-3 dalam pertemuan petang Jumaat. "Dia bermula dengan baik dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk permainan balas selepas itu," kata Murray kepada Eurosport. "Tetapi apabila saya masuk ke gelanggang dan kembali bermain dengan lebih baik, dia seolah-olah lebih bersemangat untuk bermain di jaring dan saya mampu untuk menguasai perlawanan. Ia satu kemenangan yang baik bagi saya." Sebelum itu, pilihan ketiga Milos Raonic menjadi mangsa terbaharu di London selepas tewas 4-6 6-3 7-5 kepada pemain Perancis, Gilles Simon. Simon akan berdepan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson, yang menewaskan Guillermo Garcia-Lopez 7-6 (7) 7-5. Keputusan perlawanan suku akhir ATP Queen awal pagi Sabtu: Viktor Troicki (Serbia) menewaskan John Isner (AS) 7-6 (5) 03/06 1-Andy Murray (Britain) menewaskan Gilles Muller (Luxembourg) 3-6 7-6 (2) 6-4 7-Gilles Simon (Perancis) menewaskan 3-Milos Raonic (Kanada) 4-6 6-3 7-5 Kevin Anderson (Afrika Selatan) mengalahkan Guillermo Garcia-Lopez (Sepanyol) 7-6 (7) 7-5