KUALA LUMPUR: Muhammad Hafizuddin Othman berazam melakukan yang terbaik sebagai penjaga gol pasukan hoki kebangsaan pada cabaran separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium bermula 20 Jun hingga 5 Julai. Sekalipun dipanggil menyertai skuad negara pada saat akhir, penjaga gol berusia 23 tahun itu berkata beliau sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu apabila diperlukan. "Sebaik sahaja dapat panggilan, saya sedang bercuti di Terengganu dan terus kembali ke Kuala Lumpur pagi Jumaat (semalam) kerana pada sebelah malamnya (malam tadi) saya berlepas ke Belgium. "Sebelum skuad hoki ke Belgium, saya memang sudah diberitahu untuk sentiasa bersedia menggantikan tempat mana-mana penjaga gol jika terdapat sebarang masalah," katanya ketika dihubungi Bernama. Muhammad Hafizuddin dipanggil oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menggantikan tempat penjaga gol utama S.Kumar selepas anaknya, Haarshen, 3, meninggal dunia pada Khamis.Katanya, kali terakhir beliau beraksi untuk kejohanan antarabangsa adalah pada Sukan Komanwel Glasgow, tahun lepas. "Walaupun itu kali terakhir saya ke perlawanan besar, tapi sesungguhnya saya sentiasa bersedia dan akan lakukan yang terbaik untuk pastikan Malaysia layak ke pusingan akhir," katanya. Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddin berkata beliau yakin Roslan Jamaluddin, seorang lagi penjaga gol, akan turut berpeluang menjadi pilihan untuk beraksi nanti.-- Bernama