MANCHESTER City yakin dapat mengikat pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne yang bernilai £46 juta sebelum bertemu Chelsea di Stadium Etihad pada Ahad depan. City telah memulakan usaha untuk mengikat pemain Wolfsburg itu sejak akhir musim lalu dan yakin urusan itu akan berakhir dalam sedikit masa lagi. Difahamkan, City akan berusaha membawa De Bruyne selewat-lewatnya pada minggu ini kerana pengendali kelab itu, Manuel Pellegrini ingin menggunakan khidmat pemain berkenaan ketika bertemu Chelsea. Pellegrini juga dikatakan telah memberitahu ahli lembaga pengarah City untuk mendapatkan De Bruyne secepat mungkin dalam usaha memantapkan barisan pemain tengah. Wolfsburg kini mahukan sebanyak £50 juta untuk melepaskan pemain yang menjaringkan 19 gol daripada 69 penampilan. Namun City sedia memberikan sebanyak £40 juta dengan tambahan £6 juta jika urusan pembelian dapat diselesaikan pada minggu ini. De Bruyne sebelum ini mewakili Chelsea selama dua tahun pada 2012 hingga 2014, namun tidak memberikan sebarang kesan sebelum dijual kepada Wolfsburg pada harga £18 juta sejak 18 bulan lalu. Ketika di Wolfsburg, pemain itu berjaya membuktikan kemampuan sebenar di bahagian tengah selain membantu kelab tersebut memenangi beberapa piala.