DAVID de Gea sedia bersaing bagi mendapatkan semula posisi penjaga gol utama yang menjadi milik Sergio Romero ketika ini walaupun Louis van Gaal mendakwa dia telah hilang fokus. De Gea yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid turut berazam mahu merampas kembali posisi yang diberikan kepada penjaga gol baru, Romero. Van Gaal sebelum ini mendakwa De Gea belum bersedia untuk bermain dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Tottenham kerana fikirannya diganggu oleh masalah pemindahan. Sumber yang dekat dengan De Gea mendakwa, penjaga gol itu telah dilatih dengan baik sebelum perlawanan, namun tidak diturunkan bagi perlawanan pembukaan EPL. De Gea kini telah kembali dalam latihan untuk bersaing merampas semula posisi penjaga gol bagi menghadapi perlawanan bertemu Aston Villa minggu ini. Bagaimanapun Van Gaal dijangka tidak akan menggunakan khidmat De Gea sehingga jendela pemindahan pemain ditutup pada September ini.