PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan bahawa Dollah Salleh telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada Jumaat berikutan kekalahan besar 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE). Menurut Hamidin ketika dihubungi mstar online, laporan yang disiarkan RTM dan Astro Arena adalah tidak benar, lebih-lebih lagi memetik namanya sebagai pengesahan. "Setakat hari ini tidak ada apa-apa pengumuman yang akan dibuat. Saya akan bertemu Dollah yang akan tiba malam ini terlebih dahulu. "Kemungkinan besar esok saya akan buat pengumuman, Dollah belum letak jawatan" tegasnya. Dollah pada Jumaat dilapor mungkin akan meletak jawatannya selepas diaibkan 10-0 oleh UAE pada aksi ketiga pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, Khamis malam. "Saya tak tahu tetapi mungkin juga. Apa pun tunggu dan lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini," kata Dollah pada sidang media selepas perlawanan. Dollah dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan sejak Jun 2014, bagi menggantikan Datuk K.Rajagobal.