suria

Luke Shaw Menangis Ketika Diberikan Bantuan Penafasan - Van Gaal

PENGENDALI Manchester United, Louis van Gaal mendedahkan pertahanan kiri kelab itu, Luke Shaw menangis kerana mengalami kecederaan patah kaki ketika menentang PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu.

Pemain berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan ngeri apabila dikasari oleh pertahanan PSV, Hector Moreno dalam perlawanan yang menyaksikan kelab dari England berkenaan tewas 2-1 kepada pasukan tuan rumah.

Dalam insiden itu, permainan dihentikan selama sembilan minit dengan pasukan perubatan memberikan bantuan oksigen kepada Shaw sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pemain England itu akan dibawa pulang secepat mungkin untuk menjalani pembedahan di Manchester pada Khamis.

Van Gaal selain itu turut memberi kata semangat kepada Shaw bahawa pemain itu akan kembali menyarung jersi United dalam tempoh enam bulan.

"Dia ke United ketika berusia 18 tahun dan menempuh tempoh sukar sebelum dapat memberikan aksi terbaik pada musim ini, tetapi kejadian ini pula terjadi.

"Ketika saya memasuki bilik persalinan, saya tidak dapat mengatakan apa-apa kerana dia diberikan oksigen dan sedang menangis.

"Saya bukan doktor untuk mengatakan sesuatu tetapi saya hanya mampu jangkakan dia akan kembali dalam tempoh enam bulan," luah Van Gaal dengan penuh emosi.

Manchester United, PSV Eindhoven

Artikel Berikut

Artikel Lain