MANCHESTER United tidak berpuas hati dengan tindakan UEFA yang menganugerahkan pemain terbaik perlawanan kepada pertahanan PSV Eindhoven yang menyebabkan kaki kanan Luke Shaw patah dua. Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu, Hector Moreno diberi pujian kerana menjadi faktor kemenangan 2-1 PSV ke atas United selepas pemain itu melakukan terjahan keras terhadap Shaw pada minit ke-16. United juga menganggap keputusan yang dibuat panel teknikal UEFA dalam perlawanan itu sebagai tidak sensitif apabila mengiktiraf pemain yang melakukan kekasaran melampau sebagai pemain terbaik perlawanan. "Kami pelik dan kecewa dengan tindakan UEFA yang menjadikan pemain itu sebagai model perlawanan selepas apa yang telah dia lakukan kepada Shaw," dedah sumber di Old Trafford. Shaw dilaporkan telah menjalani pembedahan di Hospital Eindhoven pada Rabu dan berada dalam keadaan baik. Pasukan perubatan percaya pemain berusia 20 tahun itu hanya perlu direhatkan selama enam bulan sebelum kembali membantu United.