suria

Formula E: Heidfeld, Bruno Senna Sedia Gegar Putrajaya

Bruno Senna (kiri) bersama rakan sepasukan, Nick Heidfeld.

PUTRAJAYA: Pemandu Pasukan Formula E Mahindra Racing, Nick Heidfeld sudah bersedia mencapai keputusan maksimum bagi pasukan berkenaan pada perlumbaan di Putrajaya, hujung minggu ini.

Bekas pemandu Formula One (F1) itu, yang kini bersemangat tinggi selepas mendudui tempat ketiga pada perlumbaan pembukaan musim 2015/16 di Beijing,China, dua minggu lepas, berhasrat meraih keputusan lebih baik kali ini. 

"Menyasarkan memenangi perlumbaan ini adalah tidak realistik kerana kami mempunyai sekurang-kurangnya satu pasukan di hadapan kita.

Selain itu, situasi adalah tidak sama pada setiap perlumbaan.

"Mungkin dalam perlumbaan terakhir, pasukan-pasukan dan pemandu mereka akan melakukan banyak kesilapan, namun kita akan cuba mengelak membuat kesilapan untuk meraih keputusan yang baik," katanya kepada pemberita di Pusat Tech Mahindra ICT Services Malaysia Sdn Bhd Global Solution, Khamis.

Pemandu Jerman berusia 38 tahun itu yang memilih menggunakan nombor 23 pada keretanya kerana sangat meminati pemain bola keranjang terhebat, Michael Jordan, berkata beliau cukup bertuah menjadi seorang pelumba.

"Perlumbaan memerlukan semangat...saya mula berkecimpung dalam go-kart padausia lapan tahun sebelum menjadi pelumba. Apabila anda melakukan apa yang anda suka, anda tidak akan bosan," katanya.

Selepas aksi kurang memberansangkan bersama pasukan Venturi pada musim pertama saingan itu, Heidfeld berharap dapat meraih kejayaan lebih baik bersama pasukan Mahindra Racing.

Bercakap mengenai cabaran antara F1 dan Formula E, beliau menyifatkan perlumbaan F1 lebih pantas, namun Formula E lebih mencabar kerana terpaksa bersaing di litar jalanan, dan perlu mempelajari teknologi serta alat ganti teknikal baharu.

Beliau, bagaimanapun mengakui F1 lebih berisiko kerana kelajuannya.

Sementara itu, rakan sepasukan beliau Bruno Senna dari Brazil, berpuas hati dengan peningkatan prestasi enjin baru pada jenteranya menjadikan pasukan itu lebih mantap selepas penampilan sulung yang mendatar musim lepas.

"Kami dapat merasakan jentera ini lebih bertenaga dan mantap...pecutan kami lebih pantas. Saya rasa kami boleh menamatkan cabaran dalam kelompok antara lima teratas pada kebanyakan perlumbaan.

"Litar di Putrajaya dan Moscow adalah litar kegemaran saya, kerana ia (Putrajaya) litar yang mencabar, dan kita perlu sentiasa mencari kesesuaian,"kata pemandu berusia 32 tahun itu.

Putrajaya akan menjadi tuan rumah pusingan kedua Formula E musim ini, pada Jumaat dan Sabtu, iaitu buat kali kedua sejak saingan itu bermula tahun lepas.

Kejohanan Formula E adalah siri perlumbaan satu tempat duduk kereta elektrik sepenuhnya yang pertama di dunia, dan menampilkan 10 pasukan yang masing-masing terdiri daripada dua pelumba.

Formula E, Bruno Senna

Artikel Lain