suria

Kelompok 10 Terbaik Dunia Sebelum Umur 20 Tahun - Jin Wei

Jin Wei (tengah) disambut ibubapanya, Goh Boon Huat (kanan) dan Loh Bee Sim di KLIA pada Rabu. Foto:MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

SEPANG: Juara dunia remaja wanita negara, Goh Jin Wei berazam untuk berada dalam kelompok 10 pemain dunia terbaik sebelum mencecah usia 20 tahun.

Jin Wei yang kini berusia 15 tahun berkata kejayaan meraih gelaran juara dunia baru-baru ini adalah permulaan kariernya untuk menjadi lebih matang serta serius dalam meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

"Sebelum mencecah usia 20 tahun, jika saya berjaya meningkatkan prestasi, saya yakin mampu berada dalam 10 pemain wanita terbaik dunia, tetapi saya akan cuba langkah demi langkah dan tidak mahu terlalu 'menolak' dan memberikan tekanan kepada diri sendiri.

"Bagi saya untuk terus cemerlang dalam sukan badminton, jangan ada sikap sombong. Set minda untuk terus berjaya adalah paling penting," katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA), pada Rabu.

Bintang muda negara, Jin Wei mencatat sejarah menjadi pemain perseorangan wanita pertama Malaysia muncul juara di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru, pada Ahad.

Beliau menewaskan rakan senegara Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua pada pertembungan akhir itu.

Menceritakan detik bersejarah itu, Jin Wei, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas berkata keyakinan beliau semakin meningkat selepas berjaya mara ke pusingan separuh akhir.

"Memang pada mulanya saya tidak menyangka dapat mengalahkan pemain lain yang lebih hebat terutamanya dari China, Thailand dan Jepun. Sebelum pertandingan sasaran saya hanya suku akhir sahaja. Selepas berjaya di peringkat separuhakhir, saya lebih yakin dan bersemangat.

"Pada akhir, bagi saya masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri tetapi siapa yang mampu mengawal emosi dan mental akan lebih yakin menguasai gelanggang," katanya.

Selepas ini Jin Wei akan menyertai Sukan Sekolah-sekolah Asean (Asean School Games) yang akan berlangsung di Brunei pada 21-29 November ini.

Sementara itu pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid ketika ditemui berkata karier dua pemain berbakat iaitu Jin Wei dan Ying Ying berada dalam landasan yang terbaik dan badan induk sukan itu akan pastikan prestasi kedua-dua pemain itu tidak terhenti diperingkat junior sahaja.

"Sudah tentu pihak BAM berbangga kerana kejayaan dua pemain kita ini. Mereka mencatat sejarah bagi sukan badminton.

"Kita lihat Jin Wei dan Ying Ying telah mengharumkan nama negara. Sebelumini kita sering bercakap tentang ketandusan pemain muda yang berbakat. Sudahtentu pihak pengurusan dan jurulatih akan memberikan pengkhususan dalam program latihan untuk mereka supaya prestasi mereka sentiasa meningkat," kata Al-Amin.

Goh Jin Wei, juara dunia remaja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain