ARSENAL memburu gelaran ketiga berturut-turut trofi Piala FA apabila bangkit menewaskan Sunderland 3-1 menerusi jaringan dua pemain sensasinya. Aaron Ramsey dan Olivier Giroud meledak gol pasukan itu selepas ketinggalan apabila Sunderland mendahului pada minit ke-17 di Stadium Emirates. Jaringan Jeremain Lens bagaimanapun tidak mematahkan semangat Arsenal apabila Joel Campbell kembali mengikat aksi lapan minit kemudian. Babak kedua seterusnya menyaksikan jaringan Ramsey dan Giroud bagaikan hadiah buat pengendali, Arsene Wenger. Pada aksi lain, Manchester City mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Norwich City hasil sentuhan Sergio Aguero, Kelechi Iheanacho dan pemain gantian Kevin De Bruyne. - AFP