KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David memulakan musim 2016 dengan kemenangan straight set di New York, Amerika Syarikat. Dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Juara-Juara pada Sabtu, Nicol yang juga pemain pilihan kedua mengetepikan pemain kelayakan dari England, Victoria Lust 11-2, 11-3 dan 11-3 dalam tempoh 24 minit untuk mara ke pusingan kedua. Menurut laman web rasmi kejohanan www.tocsquash.com, pemain nombor tiga dunia yang dalam misi mengembalikan gelaran, akan menentang pilihan kesembilan Annie Au dari Hong Kong pada Isnin. Terdahulu pemain nombor dua negara Delia Arnold mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain Australia, Rachael Grinham 8-11, 11-7, 11-5 dan 11-8. Pada pusingan kedua Delia bakal berdepan pemain pilihan keenam, Alison Waters dari England yang berjaya menyingkir rakan senegaranya, Jenny Duncalf 8-11, 11-7, 11-5, 11-8. Sementara itu Low Wee Wern yang sedang pulih daripada pembedahan ligamen krusiat anterior di lutut kiri pada April lalu disingkirkan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy. Omneya yang merupakan pemain pilihan kelima kejohanan menang 11-9 pada set pertama tetapi Wee Wrn berjaya memenangi dua set seterusnya 11-7 dan 11-9. Bagaimanapun pemain Mesir itu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 apabila menang set keempat 11-7 dan memenangi perlawanan dengan kemenangan 11-7 pada set penentuan.