FIORENTINA dilaporkan semakin hampir mendapatkan pemain tengah Spartak Moscow, Tino Costa sekali gus menjejaskan tempoh pinjamannya bersama Genoa. Pemain kebangsaan Argentina itu menyertai Genoa secara pinjaman selama 18 bulan bermula Januari 2015. Menurut Sky Sport Italia, beliau boleh menamatkan tempoh pinjaman itu lebih awal sekiranya mencapai persetujuan dengan Genoa dan Spartak untuk menyertai Fiorentina. Tino Costa disifatkan sebagai pemain yang sesuai untuk memperkukuh barisan tengah Fiorenta yang lebih menekankan corak permainan yang kerap menguasai bola seperti Barcelona. Fiorentina terdesak untuk mendapatkan pengganti Milan Badelj yang terpaksa diusung keluar padang ketika pasukan itu tewas 1-3 kepada Lazio. Badelj dipercayai bergelut dengan kecederaan hamstring.