suria

Blatter Masih Terima Gaji Sebagai Presiden Fifa

Sepp Blatter.

SEPP Blatter yang menyandang jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama lapan tahun tetapi beliau masih lagi dibayar gaji atas kapasitinya sebagai presiden Fifa.

Perkara itu didedahkan seorang jurucakap Jawatankuasa Audit dan Etika Fifa, Andreas Bantel kepada agensi berita Reuters pada Isnin.

Blatter digantung selama 90 hari oleh Fifa pada 8 Oktober dan tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama lapan tahun bulan lalu selepas didapati bersalah menyalahgunakan jawatannya untuk pembayaran dua juta Swiss franc (RM8.64 juta) kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Michel Platini pada 2011.

Namun, Blatter akan terus menerima gaji sehingga presiden baharu dilantik pada 26 Februari ini.

Ini bermaksud Blatter akan dibayar gaji hampir lima bulan tanpa perlu menjalankan tugasnya.

Sepanjang tempoh itu, Fifa melantik presiden bola sepak Afrika, Issa Hayatou untuk memangku jawatan tersebut.

Menurut kontrak Blatter, beliau berhak menerima bayaran gaji sehingga pemilihan presiden baharu Fifa.

Namun, peguam dan juga jurucakap Blatter tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara ini.

Sepp Blatter, Fifa, UEFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain